Saturday, December 22, 2012

4# : Bucaillisme dan Sains Islam

 Bucaillisme dan Sains Islam




            Assalamualaikum, kali ini mahu menyentuh sedikit tentang fenomena sains Islam, bercakap mengenai Bucaillisme atau nama asalnya diambil dari ahli perubatan Perancis iaitu Maurice Bucaille dan lahirlah istilah Bucaillisme iaitu istilah diwujudkan oleh Ziauddin Sardar. Maurice Bucaille, beliau telah membuat perbandingan teori sains moden dengan Bible dan al-Qur’aan, dan membuktikan bahawa ilmu yang ada di dalam al-Qur’aan lebih serasi dengan sains moden berbanding dengan Bible. Dalam karyanya yang tersohor itu, La Bible, le Coran et la Science, jelas terlihat dalam konteks sains kejadian alam semesta dan kejadian makhluk di bumi ini. Penemuan Bucaille ini cukup hebat disambut oleh dunia Islam dan beliau menjadi selebriti setelah karyanya itu ke dalam pelbagai bahasa. Setelah lahirnya karya beliau tersebut, ia
telah melahirkan ramai ilmuan Bucaillisme ini seperti Achmad Baiquni dan Wardana (kedua-dua di Indonesia) yang melakukan keserasian Islam dengan teori atom dan teori Einstein.Begitu juga oleh Ibrahim (di AS) dalam beberapa makalahnya tentang teori quantum. Manakala Mansour (di Mesir) pula menulis dalam sebuah makalahnya tentang laju cahaya yang cukup laris dirujuk Muslim. Sementara, Moore & al-Zindani (di Kanada) memaparkan tentang teori proses pembesaran bakal-bayi dalam kandungan dalam sebuah buku yang laris jualannya.

              Dan seorang yang anda memang kenali, Harun Yahya (di Turki) turut melakukannya menerusi pelbagai teori sains (melainkan teori Darwin yang dikritik hebatnya, malah menjadi sinonim dengannya). Perkara yang dilakukan oleh mereka semua ini ialah memadankan perkara yang ada di dalam al-Qur’aan dan al-Hadith dengan teori-teori Barat. Mereka melakukan dengan tujuan untuk menunjukkan keabsahan teori sains itu di sisi Islam. Lebih dashyat, mereka seolah-olah mengharapkan ehsan sarjana Barat itu yang tentunya sebahagian besarnya adalah kemungkinan ateis, kalau pun bukan sekular bagi membuktikan kebenaran Islam menerusi ciptaan sainsnya.

            Namun, telah wujud satu sisi yang tidak baik tentang kegiatan ini, ia dinamakan 'tumpang sekakisme',  setelah mengamati tulisan Prof Shaharir tentang perkara ini, ada betulnya pandangan beliau, kita sering ketinggalan dibelakang dalam perihal ilmuan Islam, malah, perkataan "ilmu" itu sendiri direndahkan tarafnya dengan digantikan dengan perkataan "sains" bagi menglobalisasikan sains di Malaysia. Terdapat beberapa teoti yang mengalami perubahan, contohnya, teori atom sedang dikritik hebat sejak 1970-an, bahkan sedang diganti dengan teori baru yang dinamai teori tetali. Manakala teori Einstein sedang dipersoalkan dengan hebatnya oleh ramai pihak termasuk yang agak dominannya oleh sarjana Turki, Yilmiz, dan kumpulan sarjana Rusia yang diketuai oleh Lugonov. Malah, beberapa teori alternatif ini sedang cuba menyaingi teori Einstein itu dengan hebatnya. Manakala teori quantum pula cukup terkenal dengan beragam mazhab. Sementara, teori deguman besar dan kembarannya teori alam mengembang cukup banyak kritikan terhadapnya sehingga teori itu dianggap penuh dengan kecacatannya dan perlu diganti dengan teori yang tiada deguman besar itu. Jadi, sebab itu, muncullah teori-teori baru seperti teori Hoyle-Burbidge-Narlikar dan teori Steinhart serta tertubuhnya kumpulan penentang teori alam mengembang di UK yang bernama Kumpulan Kosmologi Alternatif (KKA) 2004 yang diketuai oleh Herman Bondi, seorang ahli kosmologi Barat yang masyhur.(Shaharir)

           Bagi saya sendiri, bukanlah mahu mengkritik usaha dakwah mereka ini, malah di Malaysia sendiri mempunyai beberapa ikon dalam mengetengahkan teori sains Islam seperti Dr. Danial Zainal Abidin dalam buku yang laris terjual, Quran Saintifik, saya juga memiliki buku tersebut, ya saya amat kagum dengan penulisan beliau dimana kesemuanya mengambil asas rujukan dari kajian Barat. Namun setelah meneliti kembali pandangan dari Prof Shaharir, kita sebenarnya 'ketinggalan kereta api', dimana kita pada hakikatnya hanya menunggu kajian dari pihak Barat untuk diselaraskan dengan Islam dimana rujukan utama kita adalah Al-Quran, andai releven, itulah petikan Al-Quran yang akan digunakan. Apa yang bahayanya tentang ini adalah sains berubah !, sains tidak selamanya kekal  dan seandainya terdapat kajian baru yang mungkin sedikit bertentangan dengan penemuan sedia ada, apa tindakan kita? mencari petikan lain yang lebih sesuai?. Itu adalah pokok pangkal kenapa kita harus kehadapan. Walaubegitu, masih terdapat kekurangan, kebanyakan ikon yang menghasilkan buku Sains Islam ini bukanlah seorang saintis pun, tapi hanya mengutip kajian dari sebelah barat, dan men-releven-kan dengan Islam. Mereka malah mengukuhkan sahaja sains Barat itu seperti yang dilakukan oleh para Bucailleis atau “penumpang sekaki” itu. Sebab itu, cara yang terbaik untuk memaparkan sains semasa kepada khalayak umum mengikut perspektif Islam (menggunakan Hadith atau al-Qur’aan) mestilah dengan kritisnya. Ini boleh dilakukan menerusi kenyataan pada tempat-tempat yang seakan-akan serupa dengan maksud sesuatu ayaht al-Qur’aan atau Hadith itu. Setelah itu, perlu ditegaskan juga aspek-aspeknya yang memang tidak serupa, malah bertentangan dengan maksud sumber Islam itu.

      "  Ada tiga variasi pendekatan yang boleh dianggap terbit daripada pemikiran Bucailleisme. Pertamanya pendirian seperti Golshani (ahli fizik teori Iran yang disegani) yang menegaskan pengIslaman sains ialah masalah pentafsiran sains mengikut acuan Islam. Beliau malah berpendapat Teori Evolusi pun boleh ditafsirkan semula sehingga sesuai dengan Islam.
        Keduanya, ialah kumpulan yang melihat implikasi sesebuah teori sains sahaja, iaitu apabila implikasi teori itu berpadanan dengan yang pernah berlaku dalam kehidupan Islam, terutamanya kehidupan sufi. Maka, teori sains itu kemudiannya dianggap menepati kehendak Islam atau berada di jalan yang betul—iaitu menuju ke destinasi Islam. Pendirian sebegini banyak dipegang oleh mereka yang cenderung kepada ajaran sufi seperti Ibrahim (pakar perubatan di AS yang tersebut di atas) dan di Malaysia ini, lebih berwibawa lagi, diwakili oleh Shahidan Radiman (seorang professor fizik nuklear).
Ketiganya, kumpulan yang menilai keanalogan teori sains kini dengan teori Zaman Tamadun Islam dahulu yang berakhir dengan kepuasannya terhadap teori sains moden apabila kononnya sains moden mewarisi teori “sains Islam” dahulu. Mungkin ada sarjana Islam pada zaman tamadun Islam dahulu yang memberi pandangan awal tentang sesuatu sains kontemporer kini. Namun, tentu sekali pandangan mereka tersebut telah diabaikan berkurun-kurun sehingga hampir pasti berlainan sekali dengan yang dibina oleh ahli sains bukan Islam hingga sekarang ini.
          Oleh itu, teori kontemporer yang berasal daripada Tamadun Islam dahulu pun memang wajar dinilai dengan kritisnya termasuklah dengan menggunakan ajaran Islam itu, bukan untuk mengeyakannya sahaja. Misalnya, teori atom Barat mungkin ada unsur kesamaan dengan teori asasi jirim dalam Islam iaitu teori jawhar dan ‘aradh itu. Tetapi kita tidak boleh dengan segeranya menganggap teori atom Barat itu serasi dengan ajaran Islam seperti teori jawhar dan ‘aradh itu. "
       
 

           Mengkritik mereka tidak bermakna mengkritik usaha dakwa yang mereka lakukan, lihat sahaja Harun Yahya, bagaimana beliau telah membuka mata umat Islam akan ketepatan Al-Quran, malah menggugat para Atheist dan saintis barat akan apa yang terkandung didalam Al-Quran  dan hadis, walaupun begitu, untuk terus menggunakan pedekatan ini haruslah berhati-hati agar tidak diseleweng. Untuk terus berada dihadapan dan tidak 'ketinggalan kereta api', namun, untuk berada ditahap itu, usaha ini tentunya memerlukan tahap kesarjanaan yang tinggi, hasilnya, cara ini sahajalah yang akan menghidupkan kembali makna “al-Qur’aan sebagai sumber ilmu”, atau “al-Qur’aan sebagai panduan ilmu” dan sebagainya itu.

Wallahua'lam..
olahan: Izudin Hasan

Rujukan: Prof shaharir Mohd Zain
                Selak












0 comments: